hargailah diri anda sebagaimana yang telah ditentukan olehNYA,
maka oleh itu bangunlah wahai wanita di luar cna..
Menjadi seorang wanita itu
bukanlah satu penghinaan
walaupun lebih biasa
dikenali sebagai perhiasan
lahir dari beberapa bahan yang mempersonakan
Memikul satu kewajipan & keikhlasan
seorang ibu, seorang isteri, seorang teman dan seorang apa saja
bergantung pada yang mencorak dan dicorak
Boleh juga seorang wanita itu menjadi hablur!
di dalam gelap berkilauan
di dalam cerah bergemerlapan
namun…….dihempas pecah, menghempaspun pecah
Boleh juga seorang wanita itu
menjadi besi waja
boleh dilentur tapi tidak patah
boleh dilebur tapi tidak luntur
dicanai dan dibentuk
namun…….tetap ia dengan ketulenannya
Ya!
Itupun kalau wanita yang lemah itu
tidak ditipu, tertipu dan menipu diri nya sendiri
apatah lagi yang bernama wanita itu
penuh dengan kecantikan
kecantikan yang tidak boleh diukur
dengan pembaris atau neraca penimbang
walaupun adakalanya ia dinilai dengan wang atau kebendaan
Jadilah wanita-wanita cantik itu patung-patung bernyawa
disentuh diam, ditendang membisu.
ataupun jadi papan tanda
menunjuk jalan ke arah jurang maksiat
ataupun jadi peta
penunjuk ke arah kebenaran
Wanita !
yang jari-jemarinya
tidak sama itu
boleh menjahit akhlak yang robek
boleh menganyam hati yang resah
boleh menyemarakkan jiwa yang lemah
boleh mencorak sehelai kain putih jadi pelbagai corak dan warna
boleh mendewasakan yang muda
juga mampu menyayangi yang tua
Wanita sebenarnya terlalu mulia
bila mana iman di dada dikilatkan sepanjang masa
taqwanya umpama permata
ilmunya mengalir ke serata dunia
malunya jadi mahkota
tegasnya jadi kota
siang jadi teladan
malam jadi ikutan
kelembutan bukan sesuatu yang melekakan
Wanita!
langkah-langkah sendiri
berhak diatur dan dihitung
di dalam lingkungan syarie
Boleh jadi maju di alaf baru
boleh jadi layu ditelan waktu
atau sepi dilingkungan adat duniawi
atau disanjung di puncak anugerah Ilahi
Bangunlah!
Bangunlah wanitaku!
bersyukurlah menjadi seorang wanita
kerna kita juga berhak mencorakkan warna zaman
tingkatkanlah nilai
gandakanlah ilmu
tegakkanlah kebenaran
sebarkanlah kebaikan
dahuluilah waktu
kita mesti mengislahkan diri dan umat!
♥especially 4 kaum hawa♥
0 hasil coretan:
Post a Comment